suria

Litrak Beri Diskaun 75 Peratus Kepada Pengguna LDP Dan Sprint sempena Tahun Baru

KUALA LUMPUR: Pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL-Barat (Sprint) akan menikmati diskaun tol sehingga 75 peratus bagi semua kelas kenderaan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Diskaun tersebut akan diberikan bagi tempoh 24 jam bermula selepas tengah malam Ahad ini, sebagai "ang pau" daripada pemegang konsensi kedua-dua lebuh raya berkenaan iaitu Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak).

Ketua Pegawai Eksekutif Litrak, Sazally Saidi berkata diskaun sebanyak 60 sen akan ditawarkan kepada pengguna di kesemua empat plaza tol Lebuhraya LDP, manakala diskaun 20 sen diberikan kepada pengguna di semua tiga plaza tol Lebuhraya Sprint iatu di Damanasra, Kerinchi dan Penchala.

"Inisiatif ini merupakan tanggungjawab sosial syarikat bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengekalkan tradisi kunjung mengunjung pada musim perayaan," katanya kepada kepada pemberita selepas melancarkan kempen 'Elakkan Alkohol Jika Memandu' di sini hari ini.

Mengenai kempen itu, beliau berkata ia bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya jangan memandu ketika di bawah pengaruh alkohol.

Sazally berkata Litrak akan mengedarkan risalah kempen serta cenderahati kepada pengguna yang melalui plaza tol Lebuhrya LDP dan Lebuhraya Sprint bermula esok sehingga Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain