suria

Lelaki Dituduh Edar Dadah Cuba Sepak Jurugambar

KUANTAN: Suasana di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bertukar kecoh apabila dua daripada tiga lelaki yang didakwa mengedar dadah, cuba menyepak beberapa jurugambar yang membuat liputan kes itu.

Cubaan mereka itu bagaimanapun tersasar dan terkena perut seorang anggota polis yang mengiringi tertuduh sebelum keadaan kembali tenang selepas kesemua mereka dibawa ke lokap polis di bangunan mahkamah.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh, Ramli Kadir, 41, dari Besut, Zohari Hasan, 50, dari Jerteh, Terengganu dan Zulailay Derhaman, 31, dari Pasir Puteh, Kelantan, didakwa telah menjalankan dengan niat bersama mengedar satu bungkusan plastik berwarna hitam di tempat letak kereta di hadapan sebuah kedai buah Jalan Beserah di sini, kira-kira pukul 5.30 petang, 30 Jan lepas.

Bungkusan plastik hitam itu mengandungi satu lagi plastik berwarna hitam yang di dalamnya terdapat satu paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan berwarna keputihan disyaki dadah jenis heroin dengan berat kasar 444.4 gram.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mariana Yahya kemudian menetapkan 9 April ini untuk sebutan kes itu bagi membolehkan pihak pendakwa yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud mendapat laporan daripada Jabatan Kimia mengenai berat sebenar dadah berkenaan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain