suria

Hishammuddin Nafi Anak Raja Petra Didera

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, kononnya anaknya, Raja Azman, didera ketika ditahan di penjara.

"Jangan ada mana-mana pihak (mengatakan) bahawa kita sengaja tangkap dia ni. Dia mengaku salah kerana mencuri dan pihak penjara telah membuat laporan polis.

"Perkara ini sedang disiasat oleh pihak polis, dan apabila tiba masanya kita akan dedahkan (laporan kejadian) kepada orang ramai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Raja Azman, 34, sebelum ini dilaporkan telah menelan sebilah pisau cukur dan juga mencederakan pergelangan tangannya sendiri ketika dalam tahanan.

Raja Petra, yang sedang dalam pelarian dan dipercayai berada di luar negara kerana dikehendaki polis berhubung satu laporan ftinah, telah mendakwa dalam laman webnya kononnya pihak berkuasa Malaysia menggunakan Raja Azman, yang ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, untuk menghukum beliau. Dia juga mendakwa kononnya anaknya bertindak demikian kerana tidak tahan dengan penyeksaan mental dan fizikal yang dihadapinya.

Semalam, jurucakap Jabatan Penjara Malaysia Abdul Rahman Taib berkata Jabatan Penjara telah menubuhkan satu Lembaga Siasatan dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Hishammuddin berkata berikutan kejadian itu, pihak-pihak tertentu menggunakan isu itu untuk memesongkan pandangan orang ramai kepada perkara yang tidak berasas.

"Cara kita nak tanganinya ialah membuat liputan sebenar. Jangan terikut-ikut dengan dakwaan dan tuduhan tidak berasas dan melulu itu.

"Dia ditahan, berada dalam penjara selepas mengakui sendiri salah mencuri. Sekarang berada di dalam wad, di hospital dan tuduhan di internet sekarang kononnya nak menggambarkan bahawa kita tangkap, kita dera...saya menafikan sekeras-kerasnya," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain