suria

Empat Ditahan Bersama Ganja Bernilai RM300,000

KUALA LUMPUR: Tiga wanita bersaudara dan seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan dalam serbuan di Kondominium Anjung Villa, Bandar Baru Sentul pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, polis turut merampas sejumlah 258 ketulan mampat ganja seberat 126 kilogram yang dianggar bernilai lebih RM300,000 di ruang tamu dan bilik rumah terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin berkata polis turut menemui wang tunai berjumlah RM229,000 yang dipercayai hasil kegiatan mereka mengedar dadah.

"Hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis membuat serbuan di kondominium mewah terbabit sebelum menahan tiga suspek wanita yang merupakan adik beradik dan seorang lelaki yang merupakan tunang kepada salah seorang mereka.

"Mereka yang ditahan berusia antara 15 dan 32 tahun dipercayai menjadikan rumah itu sebagai stor untuk menyimpan dadah sebelum diedar kepada pembeli di sekitar Lembah Klang," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata rampasan ganja itu merupakan rampasan terbesar pada tahun ini di Lembah Klang dan dipercayai ganja itu diperoleh dari negara jiran.

"Polis sedang menyiasat rangkaian pengedaran mereka dan sedang menjejaki sama ada masih terdapat saki baki ahli kumpulan pengedaran dadah itu yang masih bebas," katanya.

Beliau berkata lelaki tempatan yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

Polis turut merampas sebuah kereta Proton Satria dan dua buah motosikal.Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain