suria

Ubat Pelangsing Tiada Kelulusan Dirampas

RANTAU PANJANG: Sejumlah 18,000 paket ubat pelangsing bernilai kira-kira RM90,000 dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu operasi di kawasan stesen bas pekan itu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8 Supt Rooslan Radzi berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 pagi semalam ketika beberapa anggota PGA melakukan rondaan.

"Ketika berada di kawasan stesen bas itu, kita telah mengesan beberapa kotak dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan mendapati ia mengandungi sejenis produk kesihatan untuk tujuan melangsingkan badan berjenama 'Night Oren Detox Fiber," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata produk berkenaan dipercayai tidak mempunyai kelulusan oleh Kementerian Kesihatan dan untuk diseludup ke negara jiran dengan harga pasaran kira-kira RM5 sepaket.

"Kesemua produk kesihatan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, dalam operasi yang berasingan pada hari yang sama, pasukan PGA menahan sebuah lori tiga tan yang membawa 2,670 liter petrol bernilai RM4,806 di Kampung Bunut Payung, Kota Baharu kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Rooslan berkata petrol berkenaan dipercayai diambil dari beberapa stesen minyak di sekitar kawasan tersebut sebelum diseludup masuk ke negara jiran.

"Biasanya penyeludup hanya menggunakan kereta tetapi kali ini mereka mengubah taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan lori untuk mengangkut tong berisi petrol," katanya.

Beliau berkata pemandu lori yang juga warga tempatan berusia 40 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain