suria

Tiada Peluang Untuk Saya Bergembira - MB Perak

KUALA LUMPUR: Bagi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengisytiharkan beliau sebgaai Menteri Besar Perak yang sah bermakna jadual hariannya semakin padat dan tiada masa untuk beliau berseronok.

Dr Zambry berkata, walaupun gembira beliau tetap tidak dapat meraikannya secara mutlak kerana tugasannya bertambah padat sejurus keputusan diumumkan.

"Bukannya masa untuk berseronok-seronok...selepas keputusan itu saya terpaksa berjumpa dengan berbagai orang. Malah berterusan sehingga lewat malam. Semuanya berkenaan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan memutuskan pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah sah dan menolak rayuan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Dr Zambry bagi menggantikan Mohammad Nizar daripada pakatan DAP-Pas-PKR setelah berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan negeri.

Dr Zambry berkata, bermula semalam, setelah selesai menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri, beliau terpaksa bergegas kembali ke hotel penginapan untuk bertemu dengan beberapa pelabur yang berminat untuk melabur di negeri Perak.

"Ini merupakan satu perkembangan yang menarik. Semalam di sini (hotel penginapan) saya berjumpa beberapa bakal pelabur dalaman (dalam negara) yang berminat untuk datang ke Perak. Syukur, keyakinan di kalangan pelabur bertambah baik," katanya.

Tugasan hari pertama beliau selepas keputusan mahkamah adalah mengiringi Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-220 di Istana Negara pagi semalam.

Walaupun sibuk dengan acara itu, selaku Menteri Besar beliau terpaksa juga mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri seperti lazimnya.

Tepat pukul 3 petang semalam, bertempat di sebuah hotel di tengah-tengah ibu kota beliau bersama enam anggota exco kerajaan negeri memulakan mesyuarat berkaitan perjalanan pentadbiran kerajaan, mesyuarat kali pertama selepas keputusan mahkamah menetapkan beliau sebagai menteri besar yang sah.

Mesyuarat selama satu setengah jam itu berakhir dengan majlis sidang akhbar di mana beliau merakamkan rasa syukur atas keputusan mahkmah dan mengajak seluruh rakyat negeri Perak melupakan peristiwa pahit sebelum ini dan bersama-sama membantunya membangunkan negeri Perak.

Jadual Dr Zambry di Kuala Lumpur diteruskan dengan beliau dijadual menghadiri majlis Santapan Malam sempena mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara, malam ini.

Di IPOH, Mohammad Nizar semalam berehat seharian bersama keluarga di kediamannya di Sungai Rokam.

Menurut pegawai khasnya Amran Harun, jadual Mohammad Nizar untuk hari ini hanya jemputan menghadiri satu ceramah pada sebelah malam iaitu di Trong, dalam kawasan parlimen Bukit Gantang yang diwakilinya.

"Pagi ini bos berehat di rumah tetapi seperti biasa waktu seperti itu akan diisi dengan kerja menjawab e-mel, surat dan menulis dalam laman web Facebook serta blog," katanya.

Amran berkata Mohammad Nizar kini juga sedang sibuk dengan persediaan seperti menyiapkan soalan bagi menghadiri sidang Parlimen tidak lama lagi.

Lewat malam kelmarin, selepas balik dari Putrajaya, Mohammad Nizar telah menghadiri mesyuarat dengan pimpinan pakatan pembangkang Perak di pejabat PAS Perak sebelum mengadakan sidang akhbar. Sementara itu, dalam dalam blognya "kamparinn.blogspot.com" semalam, Mohammad Nizar menyifatkan keputusan penolakan rayuan oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya kelmarin telah diduga.

"Saya merayu agar semua penyokong PR khususnya di Perak agar bertenang dan bersabar dalam menghadapi masa yang getir ini.

"Yakin dan percayalah bahawa pasti ada hikmah dan barakah dalam ketentuan itu. Jangan kita bertindak melulu dan liar serta membuat sesuatu provokasi," tambahnya.

Beliau menegaskan penentuan siapa kerajaan dan siapa Menteri Besar mesti ditentukan oleh rakyat melalui pilihan raya bebas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain