suria

Terengganu Wujud Taman ICT Di Batu Rakit

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan memperbanyakkan lagi program promosi bagi menarik lebih ramai pengusaha multimedia daripada luar negara melabur di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw berkata, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai kemudahan asas termasuk membina sebuah taman multimedia di Batu Rakit.

"Dengan ada publisiti ini, kita yakin dalam masa terdekat ini lebih ramai pelabur dalam bidang multimedia akan melabur di negeri ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri program IT & Multimedia Terengganu 2010, di sini hari ini.

Toh berkata, antara infrastruktur yang disediakan di Taman Multimedia di Batu Rakit itu ialah sebuah stesen kabel bagi menghubungkan Terengganu dengan dunia luar.

Menurutnya dengan kemudahan itu ia akan memberikan kelebihan kepada pengusaha-pengusaha multimedia yang beroperasi di situ.

Katanya, Terengganu kini telah melahirkan sebanyak 1,500 pelatih atau tenaga mahir dalam bidang multimedia terutama dalam bidang animasi sejak tiga tahun lepas.

Ia merupakan satu jumlah yang besar dari segi tenaga kerja mahir untuk Terengganu memulakan industri animasi di negeri itu.

Sementara itu, Toh berkata, program IT dan Multimedia Terengganu 2010 merupakan satu lagi usaha kerajaan negeri ke arah merancakkan pembangunan ekonomi negeri dalam sektor industri dan sektor perkhidmatan.

Toh berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peranan dan fungsi program dalam memberikan pendidikan teknologi maklumat dan multimedia.

Program itu akan diadakan selama empat hari, mulai 1 April dan antara jabatan dan agensi yang terlibat ialah Upen Terengganu, Unit Investerengganu, Unit Pusat Maklumt Negeri, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Bank Negara Wilayah Timur. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain