suria

Segera Alih Kenderaan Rosak Di Tepi Jalan - JKJR

KUALA LUMPUR: Kenderaan yang tersadai di tepi jalan atau lorong kecemasan terutama di lebuh raya perlu dialihkan dalam tempoh kurang dari 20 minit bagi mengelak kemalangan daripada berlaku, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh.

Beliau berkata Seksyen 65 Akta Pengangkutan Jalan 1987 memberi kuasa kepada polis, Datuk Bandar dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya untuk memastikan kenderaan rosak di tepi jalan dipindahkan segera.

Namun beliau berkata peruntukan undang-undang itu jarang dikuatkuasakan.

Suret berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat bagi memastikan peruntukan akta itu dapat dikuatkuasakan serta merta.

Beliau mengulas keadaan di mana semakin banyak kemalangan maut dilaporkan berlaku ekoran kegagalan pemandu mengelak daripada melanggar kenderaaan rosak yang diletakkan di tepi jalan termasuk di lorong kecemasan.

"Saya harap pihak yang terlibat terutamanya Lembaga Lebuhraya Malaysia akan menyegerakan tugas pemindahan kenderaan dengan segera tidak kurang daripada 20 minit," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan bas dan advokasi jalan raya sempena perayaan Tahun Baru Cina, di sini hari ini.

Suret berkata pemandu kenderaan perlu meletakkan tanda amaran kecemasan 50 meter jarak dari kenderaan mereka yang diparkir di tepi jalan akibat kerosakan dan sebagainya.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad, Khalilah Datuk Mohd Talha pula berkata pasukan Plus Ronda dan kakitangan penyelenggaraan lebuh raya itu akan menjalankan rondaan secara berterusan 24 jam setiap hari.

"PLUS mempunyai 130 pasukan PLUS Ronda dengan lebih 350 kakitangan yang sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna-pengguna lebuh raya," katanya.

PLUS Ronda, katanya akan memberikan bantuan kepada pemandu yang mempunyai masalah dengan kenderaan mereka dalam masa 20 minit sejurus mendapat maklumat mengenainya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain