suria

Pelajar Antara Ditahan Dalam Kes Curi Motosikal

TUMPAT: Seorang pelajar institusi kemahiran antara lapan orang yang ditahan semalam kerana disyaki terlibat dengan kegiatan curi motosikal sekitar jajahan Tumpat melibatkan kerugian RM110,000.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Khalid Munap berkata, pelajar berkenaan ditahan bersama kumpulan dikenali sebagai 'Geng Nuar'.

"Kesemua lelaki berkenaan yang berumur antara 18 hingga 27 tahun itu ditahan sekitar kawasan Tumpat dan dengan penangkapan itu kita percaya sebanyak 30 kes kecurian motosikal dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalid berkata, selepas mencuri motosikal berkenaan mereka akan membuang kerangkanya ke sungai manakala enjin akan dijual kepada orang tengah dengan harga RM350 hingga RM400 untuk dipasangkan pada motosikal lama.

Katanya, polis menjumpai lapan kerangka motosikal dalam sungai serta enam buah motosikal yang digantikan dengan enjin curi.

"Kita juga sudah mengenal pasti beberapa kumpulan lagi yang terlibat dengan kegiatan ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain