suria

Maklum Pihak Berkuasa Jika Kesan Kumpulan Mencurigakan

SEMPORNA: Penduduk di kawasan pesisir pantai timur Sabah, khususnya Semporna, perlu segera menghubungi pihak berkuasa jika mendapati ada individu atau kumpulan tidak dikenali dan mencurigakan muncul di kawasan mereka, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senalang berkata, kerjasama seperti itu perlu bagi membantu pihak berkuasa mengesan dan menyelesaikan kes kehilangan dua lelaki, pengurus dan penyelia syarikat penanaman rumpai laut di Pulau Sebangkat selepas insiden rompakan, Isnin lepas.

"Kita mengharapkan kerjasama pemimpin peringkat kampung, daerah dan masyarakat jika ada orang-orang yang diragui, disyaki atau barangkali boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara supaya memberikan laporan kepada pihak berkenaan supaya tindakan segera dapat diambil," katanya.

Nasir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Program Menambah Ahli Umno bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senalang.

Beliau mengulas kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim semalam yang menyatakan kumpulan perompak dan dua pekerja syarikat rumpai laut itu masih berada di Sabah.

Menurut Nasir, pada keseluruhannya kawasan Semporna amat selamat dan penduduknya sama ada yang tinggal di tanah besar atau pulau-pulau tetap menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa.

Beliau juga menasihatkan ketua-ketua masyarakat sama ada di peringkat kampung dan daerah supaya tidak mendengar dan mempercayai sebarang khabar angin berhubung kejadian itu sebaliknya mereka perlu mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa.

Mengenai kenyataan Pengerusi DAP Sabah, Dr Hiew King Chew yang mempersoalkan situasi keselamatan di kawasan Pantai timur Sabah dan langkah-langkah yang sedang dijalankan pihak berkuasa di kawasan berkenaan, Nasir mempelawa pemimpin parti itu untuk datang sendiri ke Semporna dan meyaksikan sendiri keadaan di sana.

Katanya, Dr Hiew tidak sepatutnya membuat sebarang kesimpulan sendiri tanpa mendapatkan maklumat sahih dan memerhatikan sendiri dari dekat suasana keselamatan yang ada di daerah itu.

"Kita jemput Dr Hiew untuk datang dan tengok sendiri keadaan di sini. Malah dia boleh pergi ke pulau-pulau yang ada di sini untuk melihat langkah keselamatan yang sedang dilakukan pihak berkuasa," katanya.

Menurut Nasir, kenyataan yang dibuat Dr Hiew itu tidak sihat kerana ia seolah-olah menggambarkan Semporna tidak selamat dikunjungi sedangkan realiti sebenar tidak begitu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain