suria

LPP Bakal Peroleh Pusat Jentera Kedua Di Kelantan

KOTA BHARU: Sebuah lagi pusat kejenteraan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan bakal dibina di daerah Machang bagi memenuhi keperluan petani dan peladang di daerah pedalaman.

Pengarah LPP Kelantan, Md Salim Sulaiman berkata, pusat yang dikenali sebagai Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Jentera yang bakal dibina itu bertujuan mengatasi masalah kelewatan penghantaran jentera kepada petani dan kos logistik yang terpaksa ditanggung LPP.

"Pembinaan PPN Jentera itu akan menjadi pusat kejenteraan kedua di Kelantan selain PPN Jentera di Panji, Kota Bharu.

"Ia secara tidak langsung memenuhi keperluan petani dan peladang LPP di daerah pedalaman seperti Jeli dan Tanah Merah yang memerlukan penggunaan jentera untuk kerja pertanian dan membantu mengurangkan kos logistik yang ditanggung LPP untuk menghantar jentera ke daerah pedalaman sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Hari Anugerah Operator Jentera Terbaik LPP Kelantan 2009 di sini hari ini

Beliau berkata, sebelum ini petani di pedalaman mengalami masalah kelewatan penerimaan jentera berikutan LPP terpaksa menggunakan lori khas untuk menghantar jentera ke kawasan pedalaman.

"Kesemua jentera seperti traktor ditempatkan di PPN Jentera Panji, Kota Baharu dan apabila adanya permintaan penggunaan jentera dari petani di pedalaman, LPP akan menghantar jentera itu menggunakan lori yang mana ianya menyebabkan masalah kelewatan kerana perjalanan memakan masa yang agak lama.

"Justeru itu dengan adanya sebuah lagi PPN Jentera di Machang akan menjimatkan masa dan kos penghantaran kerana jumlah jentera akan dibahagikan dan ditempatkan di pusat itu untuk kegunaan petani dari daerah Machang dan yang berhampiran seperti Jeli Tanah Merah," katanya.

Md Salim bagaimanapun berkata, peruntukan untuk pembinaan PPN Jentera itu masih dalam kajian pihak atasan kerana ianya turut mengambil kira faktor jumlah jentera dan kakitangan yang akan ditempatkan di pusat berkenaan.

Selain itu katanya, PPN Jentera yang bakal dibina di kawasan Bandar Bukit Perah di Machang itu akan turut dilengkapi dengan pembinaan bengkel untuk membaiki jentera sebagaimana PPN Jentera di Kota Bharu.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau berkata, sebanyak 20 buah traktor akan diberi kepada LPP Kelantan tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan traktor di negeri ini sebanyak 103 buah.

LPP Kelantan sehingga kini memiliki 56,000 ahli berdaftar di bawah 21 buah Pertubuhan Peladang Kawasan di seluruh daerah di negeri ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain