suria

Lima Ahli Parlimen Pembangkang Dibebaskan Dari Tuduhan Sertai Perhimpunan Haram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini melepaskan dan membebaskan 27 orang termasuk lima ahli Parlimen pembangkang daripada tuduhan menyertai satu perhimpunan haram di perkarangan Masjid Negara pada tahun 1999.

Majistret Nurhafizza Sauni membuat keputusan tersebut setelah pihak pendakwaan gagal memanggil tujuh lagi saksi seperti mana dimaklumkan kepada mahkamah sebelum ini.

Katanya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin, yang ketika itu menjadi Ketua Polis Daerah Dang Wangi, gagal hadir di mahkamah untuk memberi keterangan dalam kes itu.

Selain itu, Nurhafizza berkata pihak pendakwaan juga gagal menyampaikan sepina kepada saksi penting walaupun diberi tempoh masa yang secukupnya untuk berbuat demikian.

Lima Ahli Parlimen yang didakwa terbabit dalam perhimpunan haram itu adalah Tian Chua (Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Batu), Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai), Azmin Ali (PKR-Gombak), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan N. Gobalakrishnan, iaitu Ahli Parlimen Padang Serai dari PKR.

Selain itu, turut dibebaskan ialah bekas Ketua Pemuda Keadilan Mohamed Ezam Mohd Nor dan bekas aktivis pelajar Hishamuddin Md Rais.

Nurhafizza berkata mahkamah dimaklumkan bahawa saksi penting tersebut merupakan anggota dan pegawai polis dan mahkamah tidak dapat menerima alasan bahawa sepina tidak dapat disempurnakan memandangkan kesemua mereka bertugas di sekitar Kuala Lumpur.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama yang membawa hukuman penjara setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, salah seorang peguam tertuduh J. Chandra berhujah bahawa mahkamah tidak boleh menangguhkan kes memandangkan pegawai penyiasat gagal hadir di mahkamah untuk menjelaskan usaha yang dibuat oleh pihak polis dalam menyempurnakan sepina.

Antara peguam lain yang mewakili tertuduh ialah Datuk C V Prabakaran, Hasnal Rezua Merican, Abdul Kadir Ismail dan Latheefa Koya.

Di luar mahkamah, Tian Chua berkata walaupun perbicaraan kes mengambil lebih daripada 11 tahun tetapi beliau dan rakannya yang lain tetap bersabar menantikan keputusan untuk membuktikan setiap individu mempunyai hak untuk berhimpun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain