suria

Lapan Pelajar Di Gombak Positif Dadah

KUALA LUMPUR: Ujian air kencing yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ke atas pelajar di lima buah sekolah menengah di daerah Gombak dekat sini mendapati lapan pelajar didapati positif dadah.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Abd Bakir Zin berkata, pihaknya telah menjalankan ujian saringan dadah di sekolah-sekolah berkenaan pada minggu lepas selepas mendapat maklumat daripada pihak sekolah.

"Kita telah melakukan ujian air kencing terhadap 200 pelajar dan didapati lapan pelajar adalah positif dadah, kita tidak melakukan ujian itu kepada semua pelajar sebaliknya kepada mereka yang disyaki saja, biasanya mereka yang menghisap rokok," katanya kepada pemberita selepas melawat AADK Daerah Gombak di sini, hari ini.

Katanya, pelajar terbabit akan diberikan kaunseling di bawah program intervensi pelajar AADK.

Sementara itu, beliau berkata, Gombak merupakan kawasan 'panas' yang menjadi tumpuan AADK untuk membasmi gejala penagihan dadah.

"Di daerah Gombak terdapat 7 hot spot melibatkan 12 kawasan dengan 155 OKP (Orang Kena Pengawasan), di mana mereka ini perlu diberi pengawasan lebih dari pihak AADK " katanya.

Dua belas kawasan berkenaan termasuklah Kampung Selayang Baru, Kampung Laksamana, Bandar Country Homes, Taman Sri Gombak dan Kampung Wira Damai.

Beliau berkata, AADK akan mengadakan program berterusan seperti khidmat kaunseling, melakukan ujian air kencing dan khidmat masyarakat yang turut membabitkan golongan OKP. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain