suria

Kerajaan Kaji Cara Jadian Struktur Cukai Kompetetif

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengkaji cara bagi menjadikan struktur cukai negara kompetitif di peringkat serantau, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Mohamad Hanadzlah, hari ini.

"Kita sudah mengurangkan cukai korporat dan sudah menunjukkan kesediaan untuk mengurangkan cukai pendapatan peribadi dalam keadaan khusus, seperti Wilayah Iskandar," katanya.

Oleh itu katanya, pengenalan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) merupakan pendekatan menyeluruh tindakan kerajaan dalam memastikan asas fiskal Malaysia lebih kukuh.

"Setakat ini, lebih 140 negara sudah melaksanakan dengan jayanya GST atau cukai nilai tambah (VAT)," katanya semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan mengenai GST: Pelan tindakan menuju Sistem Percukaian Baharu Malaysia, di sini.

Menurutnya, pelaksanaan GST di Malaysia bakal menyaksikan perniagaan di Malaysia menjimatkan RM4 bilion manakala pengeksport menikmati sehingga RM1.4 bilion menerusi sistem kadar sifar itu.

Kementerian Kewangan sedang mengkaji memperkenal GST pada kadar empat peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada. Ia dijangka dimuktamdkan sebaik Parlimen meluluskan rang undang-undang mengenainya.

Kerajaan dijangka mengutip RM1 juta hasil tambahan setahun selepas tahun pertama pelaksanaan GST.

Husni berkata model GST Malaysia sedang dirangka dengan teliti, dengan mengambil kira kepentingan sebahagian besar penduduk, terutama kumpulan berpendapatan rendah.

"Beberapa barangan dan perkhidmatan asas tertentu tidak tertakluk kepada GST. Ia termasuk bahan makanan, kediaman, pendidikan, perkhidmatan kesihatan. pengangkutan awam dan penggunaan doemstik bekalan air dan elektrik, ke satu tahap tertentu.

"Kadar cukai yang secara relatifnya rendah, pada empat peratus, merupakan petunjuk usaha kerajaan bagi meminimumkan impak cukai ke atas pengguna akhir," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain