suria

Kastam Sarawak Tumpas Cubaan Seludup Rokok Kretek RM1.6 Juta

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia cawangan Sarawak berjaya menumpaskan cubaan menyeludup kira-kira tiga juta batang rokok keretek berjenama Apache Premium Keretek, Absolute Mild dan Absolute Mild Menthol bernilai RM1.6 juta termasuk cukai.

Pengarahnya, Datuk Rusmani Abdul Sukur berkata, rokok keluaran negara jiran itu cuba dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Senari pada 4 Februari lepas dengan mengisytiharkan sebuah kontena sepanjang 20 kaki membawa muatan kacang soya.

"Berdasarkan maklumat awal yang diterima, pihak Kastam Sarawak hanya menemui rokok keretek dalam kontena tersebut tanpa menjumpai kacang soya yang didakwa berada dalam kontena itu sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini namun pihaknya telah pun mengenal pasti ejen yang diberi kuasa untuk membawa masuk kontena tersebut.

Rusmani berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda maksimum 20 kali ganda nilai barang yang disita atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain