suria

Kastam Pulau Pinang Rampas 50,000 Karton Rokok

BUTTERWORTH: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Pulau Pinang berjaya merampas 50,000 karton rokok bernilai RM1.1 juta melibatkan duti berjumlah lebih RM4.8 juta yang cuba diseludup masuk di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, Ahad lepas.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Matrang Suhaili berkata, hasil maklumat awam dan intipan selama seminggu, pihaknya telah menahan sebuah kontena berisi muatan rokok yang masuk melalui pelabuhan NBCT dari Kanada.

"Dagangan telah diikrar sebagai mengandungi "Animal Feed" sebanyak 24 tan yang dialamatkan kepada sebuah syarikat pengimport "feedmeal" di Sungai Bakap, Pulau Pinang tanpa pengetahuan syarikat berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, seorang penyelia dan dua pemandu haulier berumur antara 30 hingga 40 tahun yang mengendalikan penghantaran kontena itu ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan juga dijalankan terhadap agen perkapalan dan agen penghantaran yang disyaki turut terlibat dalam pengimportan itu.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana terlibat dalam mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam atau barang larangan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain