suria

Enam Stor Kolej Poly-Tech Mara Kuantan Terbakar

KUANTAN: Kolej Poly-Tech Mara cawangan Kuantan di sini mengalami kerugian kira-kira RM150,000 selepas enam bilik stor dalam bangunan lamanya terbakar, hari ini.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kuantan, Farid Pisri berkata, seramai 14 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 12.17 tengahari tadi.

Beliau berkata, kebakaran tersebut berpunca daripada bilik simpanan dokumen pentadbiran dan kewangan, serta bilik pemandu sebelum ia merebak ke empat bilik stor yang lain.

"Ketika pasukan kami tiba, api telah pun marak di bilik pertama dan ia merebak ke empat bilik stor bersebelahan namun empat bilik yang menerima percikan api itu bagaimanapun berjaya dikawal dan hanya mengalami kebakaran biasa," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang pemandu di kolej tersebut, Mokhtar Abu Bakar, 37, berkata, kejadian kira-kira 11.30 pagi itu berlaku ketika dia bersama tiga rakannya berada dalam bilik pemandu tersebut.

"Kami kemudian terdengar bunyi suis elektrik menendang sebelum lampu tiba-tiba terpadam dan saya mendapati api telah marak di bilik simpanan dokumen pentadbiran dan kewangan," katanya.

Dia dan rakannya cuba memadam api menggunakan 15 tong pemadam api namun tidak berhasil sebelum melaporkannya kepada pegawai pentadbiran kolej berkenaan dan menghubungi bomba.

Dalam pada itu, Pengarah kolej berkenaan, Ismail Junuh berkata, bangunan yang yang dibina sejak 39 tahun lepas itu mengalami kerugian kira-kira RM150,000.

Katanya, lapan pekerja di bangunan tersebut akan ditempatkan ke bangunan lain buat sementara waktu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain