Dua Wanita Antara 12 Dihadapkan Ke Mahkamah Kerana Minum Arak - Semasa | mStar

Dua Wanita Antara 12 Dihadapkan Ke Mahkamah Kerana Minum Arak

KUANTAN: Dua belas orang, termasuk dua wanita, didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas tuduhan meminum arak di dua buah pusat hiburan di sini ketika operasi Ops Taubat dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) minggu lepas.

Mereka ialah pekerja swasta Maryati Musa, 20; pekerja hotel Normaziah Ahmad, 25; mekanik Faidzrul Ezzat Mohd Isa, 21; pekerja restoran Mohd Ashaari Abdullah, 25; penganggur Wan Mohd Asyraf Firdaus, 20; buruh Mohd Saifulnizal Zulkifli, 29; Mohd Basrizul Ismail, 22, yang bekerja sendiri dan peniaga, Mohd Azizie Jama Huri, 25.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Horoscope Club di sini pada 6 Februari lepas antara pukul 12 tengah malam dan 2 pagi.

Sementara itu, pengurus Mohamed Fadzil Sharkan, 51; peniaga Nur Effandi Badrul Hisham, 20; eksekutif swasta Mohammad Syahrul Nizam Halim, 28 dan pekerja kilang Fardly Zai, 27, pula didakwa melakukan kesalahan yang sama di pusat karaoke Mega KTV di Jalan Wong Ah Jang di sini antara 12 tengah malam dan 2 pagi pada hari yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa JAIP Azwa Hanim di hadapan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Pahang Muhammad Azhari Abd Rahmad.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.

Enakmen itu memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya dan sebatan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dan mereka dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM2,000 dan seorang penjamin. Kesemua tertuduh membayar wang jaminan itu.

Muhammad Azhari kemudiannya menetapkan 24 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Dua Perompak Jam Rolex Dipenjara 12 Tahun

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain