suria

Bekalan Darah Mencukupi Untuk Tampung Permintaan Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memberi jaminan bekalan darah adalah mencukupi bagi menampung keperluan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Pusat Darah Negara (PDN) telah melakukan pelbagai persiapan antaranya menjalankan kempen menderma darah selain kempen yang dianjur orang persendirian.

PDN dengan kerjasama pelbagai pihak telah melaksanakan kempen menderma darah di beberapa lokasi pada 18 hingga 24 Jan lepas, katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan Tahun Baru Cina serta melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya MTD di Hentian Sebelah Bentong, Pahang dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada PDN mempunyai darah yang mencukupi untuk musim perayaan ini. Selain membekalkan darah kepada hospital kerajaan, PDN turut membekalkan darah kepada hospital swasta.

Baru-baru ini terdapat laporan mengenai kebimbangan beberapa hospital kerajaan dan swasta mengalami kekurangan bekalan stok darah akibat pendermaan darah yang tidak begitu memberangsangkan sedangkan permintaannya adalah tinggi.

Sementara itu, Liow yang juga Anggota Parlimen Bentong berkata beliau telah berbincang dengan pihak lebuh raya bagi mencari penyelesaian mengenai kemalangan yang sering berlaku di KM 31, 42 dan 71 Lebuharaya Karak-Kuantan.

"Saya dimaklumkan kajian mengenainya sedang dilakukan...seperti kajian cerun dan tanah. Permohonan itu akan dipanjangkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk tujuan mendapatkan peruntukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain