suria

23 Bas Ekspres Tidak Dibenar Teruskan Perjalanan

BUTTERWORTH: Sebanyak 23 bas ekspres yang diperiksa sejak Isnin lepas sempena Ops Sikap 21 di Terminal Bas Butterworth, di sini tidak dibenarkan meneruskan perjalanan setelah didapati tidak memenuhi spesifikasi keselamatan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Datuk Hassan Yaccob berkata, pemantauan yang lebih ketat sehingga tamat Ops Sikap pada 21 Februari ini dilakukan bagi memastikan pengusaha mengikut peraturan ditetapkan.

"Sejak Isnin lepas kita telah periksa 511 bas dan sebanyak 23 bas tidak dibenarkan meneruskan perjalanan kerana melakukan kesalahan antaranya ialah tayar 'haus' (tiada bunga), tidak menepati spesifikasi keselamatan, menggunakan tayar celup dan tiada pemandu kedua," katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemantauan di Terminal Bas Butterworth, di sini malam tadi.

Katanya, JPJ tidak berkompromi dengan pengusaha yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan kerana tidak mahu kemalangan berlaku sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Hassan berkata, dalam Ops Sikap 21 ini, JPJ memfokuskan kepada enam kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan iaitu melanggar lampu merah, memotong di garisan berkembar dan memandu melebihi had lalu.

"Selain itu, kita juga akan mengambil tindakan kepada pengguna yang mengekori kenderaan dalam jarak membahayakan, tidak menggunakan tali pinggang dan memandu secara berbahaya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menggunakan pendekatan baru sempena Ops Sikap kali ini dengan menetapkan sebuah pasukan peronda di lebuh raya bagi mengesan kesalahan dilakukan pengguna. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain