suria

200 Kilogram Ganja Dirampas, Suami Isteri Ditahan

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dan dua saudara terdekat mereka ditahan dan polis merampas 200 kilogram ganja dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Bandar Baru Sentul di sini hari ini.

Turut dibawa ke balai polis ialah anak lelaki pasangan itu yang berusia lima tahun, demikian menurut sumber polis.

Beliau berkata serbuan pada pukul 11.15 pagi itu dibuat oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman hasil risikan sejak seminggu lepas.

"Ganja yang bernilai kira-kira RM800,000 itu ditemui dalam sebuah bilik yang turut dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menemui wang tunai kira-kira RM200,000 yang dipercayai hasil kegiatan mereka sejak lebih setahun lepas.

Sumber itu berkata kesemua yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an dan dua perempuan terbabit ialah adik ipar kepada suspek lelaki.

Difahamkan rumah yang didiami pasangan terbabit disewa dan mereka akan menyimpan dan membungkus dadah itu mengikut permintaan pelanggan sebelum mengedarkannya.

Sumber itu berkata isteri kepada suspek lelaki itu dipercayai orang penting yang akan mengawal aliran keluar masuk duit hasil jualan dadah itu.

Polis sedang menyiasat rangkaian pengedaran pasangan terbabit dan bekalan dadah yang diambil. Kes itu disiasat mengikut Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain