suria

Tiga Lelaki Cuba Seludup Keluar Syabu RM10 Juta Diberkas Di KLIA

KUALA LUMPUR: Dua lelaki tempatan dan seorang warga Singapura yang cuba menyeludup keluar dadah bernilai kira-kira RM10 juta ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang tengah malam tadi.

Menurut sumber polis, kesemua mereka yang dipercayai anggota sindiket dadah antarabangsa, ditahan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi sebaik memasuki balai berlepas di Bangunan Terminal Utama, KLIA.

Mereka yang berusia 20-an dan 30-an itu dijadualkan mengambil penerbangan ke Filipina dan dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa 'keldai dadah' Iran yang ditahan sepanjang dua bulan ini.

Sumber itu berkata hasil pemeriksaan di dalam bagasi yang dibawa mereka, polis menemui sebanyak 40 kilogram syabu berkualiti tinggi, dengan nilai pasaran semasanya mencecah kira-kira RM10 juta (RM250,000 sekilogram).

Difahamkan, tangkapan tersebut dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang mengintip pergerakan suspek dari pusat bandaraya, dan dibantu maklumat risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

"Kes kali ini berbeza kerana dadah berkenaan cuba dibawa keluar dari negara ini ke negara jiran. Kita tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai kaitan dengan beberapa 'keldai dadah' Iran yang ditahan sebelum ini termasuk yang terbaru membabitkan tujuh warga Iran di KLIA baru-baru ini ketika cuba menyeludup masuk dadah.

"Ini kerana kualiti syabu yang cuba dibawa keluar itu menunjukkan mereka memang mempunyai kaitan kerana ia hanya boleh diperoleh di Iran," katanya.

Menurut sumber itu lagi, apa yang mengejutkan ialah apabila dua beg yang dirampas itu, tiada tanda-tanda dadah itu disorok dengan pakaian atau barangan lain sebagaimana kes lain, tetapi dipenuhi dengan dadah semata-mata.

Beliau berkata polis sedang menyoal siasat mereka bagi mengenalpasti dalang utama sindiket tersebut, termasuk dari mana bekalan dadah diperoleh, rangkaian pengedaran mereka di luar negara selain modus operandi mereka.

"Siasatan akan turut mengambil kira kemungkinan pembabitan 'orang dalam' di KLIA berikutan penyeludup dadah terbabit begitu mudah melepasi pemeriksaan keselamatan sebelum ditahan polis.

"Sikap berani luar biasa tiga anggota sindiket yang dua dari mereka warga tempatan turut menimbulkan tanda tanya, seolah-olah ada yang memberi 'restu' atau membantu mereka," katanya.

Beliau berkata kebanyakan cubaan menyeludup dadah terutamanya yang membabitkan KLIA sebelum ini digagalkan polis hasil maklumat risikan dan intipan, dengan kebanyakan penahanan dilakukan di balai ketibaan, kaunter bagasi, kawasan lobi dan tempat menunggu teksi.

Katanya belum pun sampai dua bulan tahun ini, seramai 41 'keldai dadah' warga Iran telah ditahan di KLIA selepas kesemuanya melepasi pemeriksaan dan mesin pengimbas lapangan terbang.

Menurut sumber itu, kesemua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Timbalan Pengarah Jabatan Narkotik (Operasi) Bukit Aman Datuk Othman Harun ketika dihubungi enggan mengulas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain