suria

Rancang Perjalanan Sempena Cuti Tahun Baru Cina - PLUS

KUALA LUMPUR: Plus Expressway Berhad (Plus) menasihati pengguna jalan raya yang akan melakukan perjalanan ke utara dan selatan tanah air mulai Jumaat ini sempena cuti Tahun Baru Cina agar membuat perancangan dan memulakan perjalanan lebih awal.

Dalam satu kenyataan hari ini, Plus menasihati penduduk Lembah Klang yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan untuk ke Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang supaya memulakan perjalanan antara 12 tengah hari dan 5 petang.

Mereka yang hendak ke Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh, Simpang Ampat dan Ayer Keroh pula digalakkan melewatkan perjalanan kepada antara 5 petang dan 9 malam.

Pengguna jalan raya yang ingin ke Seremban, Port Dickson dan Senawang diminta memulakan perjalanan selepas pukul 9 malam.

Untuk perjalanan pada hari Sabtu, pengguna jalan raya ke negeri yang terletak di utara dan selatan perlu memulakan perjalanan sebelum 12 tengah hari; dan ke Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh, Simpang Ampat, dan Ayer Keroh antara 12 tengah hari dan 5 petang.

Kenyataan itu turut menyebut pengguna jalan raya yang menghala ke Tapah, Bidor, Slim River, Tanjung Malim, Seremban, Port Dickson dan Senawang dinasihati supaya memulakan perjalanan mulai 5 petang.

Sementara itu, pengguna jalan raya yang hendak kembali ke Lembah Klang pada 16, 20 dan 21 Februari dari negeri di utara dan selatan iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Johor dinasihati agar memulakan perjalanan sebelum 1 tengah hari.

Selain itu, pengguna dari Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh, Simpang Ampat, dan Ayer Keroh dinasihati melakukan perjalanan antara 3 dan 6 petang manakala dari Tapah, Bidor, Slim River, Tanjung Malim, Seremban, Port Dickson dan Senawang pula dinasihati supaya memulakan perjalanan sebelum pukul 10 pagi ataupun selepas pukul 8 malam.

Menurut Plus, jadual cadangan perjalanan itu dapat diperoleh menerusi laman web www.plus.com.my atau dengan menghubungi talian bebas tol 1 800 88 00 00.

Syarikat berkenaan turut mengingatkan pengguna lebuh raya agar menambah nilai kad PLUSMiles atau Touch 'n Go sebelum pulang bercuti kerana lorong-lorong tambah nilai di plaza-plaza tol akan ditutup pada Jumaat dan Sabtu ini, serta dari 16 hingga 21 Februari.

Bagaimanapun kaunter-kaunter "Reload 'n Go" disediakan di kawasan-kawasan rehat terpilih pada tarikh-tarikh tersebut.

Plus juga menasihati orang ramai agar tidak berhenti di lorong kecemasan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna lebuh raya yang lain.

Mereka boleh menghubungi PLUSLine di talian bebas tol 1800 88 0000 atau menggunakan telefon kecemasan yang disediakan di setiap dua kilometer lebuh raya itu sekiranya berhadapan masalah ketika dalam perjalanan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain