suria

Peniaga Barang Lusuh Disyaki Pengedar Dadah Ditahan

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang pemilik kedai barang-barang lusuh di Kampung Batu Enam di sini malam tadi kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di kampung berkenaan dan kawasan sekitar.

Ketua Jabatan Narkotik negeri Terengganu Supt Roslan Abdul Wahid berkata berdasarkan risikan dan maklumat yang diterima, polis telah membuat intipan hampir empat bulan sebelum lelaki berumur 27 tahun itu diberkas kira-kira 10 malam tadi.

"Semasa tangkapan dilakukan, suspek sedang makan di sebuah kedai di Kampung Bukit Tunggal malam tadi. Siasatan mendapati suspek yang berniaga barang-barang lusuh dipercayai menerima besi-besi buruk yang dibawa oleh penagih di kampung sekitar dan kemudian membayarnya dengan dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Roslan berkata ekoran penahanan itu, polis turut menyita sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah van dan sebuah lori dipercayai milik suspek yang disimpan dibengkelnya yang kesemuanya dianggar bernilai kira-kira RM120,000.

Katanya suspek kini ditahan selama 60 hari di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan tidak dibicarakan di mahkamah.

Menurutnya, polis percaya dengan penahanan itu, ia dapat mengurangkan kegiatan penagihan dadah di beberapa kampung sekitar seperti Kampung Pak Katak, Bukit Tunggal dan kawasan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain