suria

Pendengaran Permohonan Semakan Anwar Ditetapkan 25 Februari

PUTRAJAYA: Permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk dibekalkan beberapa dokumen penting termasuk sampel spesimen DNA Mohd Saiful Bukhari Azlan sebelum perbicaraan, ditetapkan untuk didengar pada 25 Februari.

Anwar memfailkan permohonan bagi semakan itu mengikut Peraturan 137, Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan selepas rayuan terakhirnya pada 29 Januari ditolak.

Seorang daripada peguam yang mewakili Anwar, S.N.Nair berkata beliau dimaklumkan mengenai tarikh itu oleh pejabat pendaftar Mahkamah Pesekutuan melalui faksimili pada kira-kira 2.50 petang. Beliau berkata pendengaran itu ditetapkan pada 9.30 pagi pada hari berkenaan.

"Amat dikesalkan kerana tarikh yang begitu lambat diberikan bagi keputusan penting seperti itu kerana menjelang tarikh itu Mahkamah Tinggi Jenayah mungkin telah menangguhkan perbicaraan kes liwat itu. Mahkamah Tinggi menetapkan 25 Januari hingga 25 Februari bagi perbicaraan."

Antara dokumen penting yang dipohon Anwar bagi membolehkan beliau membuat pembelaan dalam perbicaraan kes liwat itu ialah kenyataan yang dirakamkan daripada mangsa Mohd Saiful, nota pemeriksaan Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, kenyataan pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, dan kenyataan tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan dan rakaman CCTV di kondominium pada waktu kejadian.

Pada 29 Januari, panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria memutuskan bahawa pada peringkat praperbicaraan, Anwar hanya boleh akses kepada dokumen dan bahan berkaitan pertuduhan itu, bagi membolehkannya untuk memahami pertuduhan dan membuat persediaan bagi pembelaannya.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, 2008.

Pada 3 Februari, pasukan peguam yang mewakili Anwar mengadakan perjumpaan dengan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff memohon supaya semakan itu didengar dengan kadar segera tetapi mahkamah tidak memberikan sebarang tarikh.

Perbicaraan kemudiannya disambung pada sebelah petang 3 Feb dengan Mohd Saiful memberikan keterangan. Bagaimanapun, perbicaraan itu telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi yang ditetapkan pada 18 Feb berhubung permohonan Anwar bagi hakim menarik diri daripada mengendalikan perbicaraan kes liwatnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain