suria

Pembangkang Tak Perlu Letak Syarat Di Perak

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang diingatkan supaya ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membantu rakyat tanpa memberikan sebarang syarat dan alasan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pembangkang tidak perlu mengalihkan pandangan rakyat dengan tuntutan-tuntutan remeh atau bermain politik.

"Tidak perlu kita bermain politik, kita perlu bekerja untuk rakyat, jangan bagi semua syarat atau alasan seperti ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tuntutan Pakatan Rakyat Perak yang sedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinannya demi kepentingan rakyat sekiranya syarat yang mereka tetapkan dipenuhi.

Tiga syarat yang ditetapkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dibekalkan dengan sedikit peruntukan kewangan untuk melancarkan kerja-kerja berkaitan kebajikan rakyat, memberi kebenaran menggunakan kemudahan dewan orang ramai untuk menjalankan aktivitinya dan tidak disekat daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi membolehkan mereka memberikan input bagi kepentingan rakyat negeri itu.

Tuntutan berkenaan diumumkan oleh ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin selepas mesyuarat ADUN pembangkang di Ipoh semalam.

Mengulas mengenai tuntutan peruntukan kewangan, Zambry berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membantu rakyat tanpa mengambil kira latar belakang politik.

Sebaliknya beliau mempersoalkan niat pembangkang untuk meminta peruntukan kewangan berkenaan supaya disalurkan kepada mereka sebelum diagihkan kepada rakyat.

"Persoalannya sekarang mereka mahu untuk tujuan politik atau untuk rakyat?

"Perkara penting ialah untuk rakyat, duit mesti pergi kepada rakyat... jadi tak timbul soal tuntutan itu, jika ada kemiskinan yang dilaporkan kita pasti akan bantu," katanya.

Menjelas lanjut, Zambry berkata kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan pembanggunan walaupun di kawasan yang dikuasai pembangkang.

Sebagai contoh katanya, kerajaan negeri akan melakukan kerja membaik pulih enam buah pasar basah di sekitar Lembah Kinta dan Ipoh yang berada di bawah penguasaan pembangkang.

Mengenai permintaan untuk menganggotai mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah, Menteri Besar itu berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mempertimbangkanya jika merasakan penglibatan mereka boleh berfungsi untuk kepentingan rakyat.

"Kita akan tengok perkara itu, jika mereka boleh bantu kita akan buat.

"Tapi bagi saya perkara penting ialah mereka perlu berfungsi di kawasan mereka kalau mereka benar-benar nak bantu rakyat.

"Persoalannya ialah adakah apabila mereka berada di situ bermakna akan jadi lebih efektif, sejauh mana mereka dapat lakukan yang terbaik kepada rakyat?" katanya.

Ditanya sama ada beliau sebenarnya tidak akan melayan permintaan berkenaan, Zambry berkata: "Saya tak mahu kata tak mahu layan, tapi sebenarnya soal ini tak perlu ditimbulkan.

"Kita bekerja untuk rakyat, mengapa perlu letakkan syarat," katanya.

Dalam pada itu Zambry berkata beliau dan barisan exconya serta semua ADUN BN serta yang menyokong parti itu akan terus bekerja keras untuk membantu rakyat.

"Kita akan terus bekerja untuk rakyat, apa yang berlaku sebelum ini adalah pengajaran kepada kita.

"Inilah masanya untuk kita buktikan kesungguhan kita membantu rakyat," katanya.

BN mengambil alih pentadbiran di Perak daripada Pakatan Rakyat selepas memperoleh kelebihan 31 kerusi berbanding 28 kerusi yang dikuasi pembangkang dalam DUN Perak.

Artikel Berikut

Artikel Lain