suria

Murid Tahun Lima Mati Lemas Di Lombong

KUANTAN: Seorang murid lelaki Tahun Lima tidak sempat menjalani aktiviti ko-kurikulum di sekolahnya selepas dia bersama tiga rakannya singgah mandi di lombong Kampung Chendering di sini dan mati lemas di situ.

Mohd Fauzi Hasnol, 11, murid Sekolah Kebangsaan Pandan di sini bersama tiga rakan sebayanya dikatakan singgah di lombong tersebut kira-kira 4.30 petang untuk mandi sebelum ke sekolahnya bagi mengikuti aktiviti ko-kurikulum pada pukul 5 petang.

Ibu saudaranya, Jamilah Bidin, 46, berkata Mohd Fauzi pulang dari sekolah ke rumahnya di Taman Tas Ria kira-kira 1 tengah hari dan keluar semula pada pukul 2.30 petang untuk ke rumah rakan-rakannya sebelum ke sekolah.

"Dia ke lombong itu untuk mandi bersama dua kawannya manakala seorang lagi tidak turut serta dan hanya melihat mereka mandi," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata Mohd Fauzi yang tidak pandai berenang, lemas sebelum cuba dibantu rakannya namun gagal kerana dia semakin tenggelam ke dasar lombong. Rakannya kemudian meminta pertolongan daripada orang kampung.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha ketika dihubungi berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas bergegas ke tempat kejadian kira-kira 5 petang selepas menerima laporan dan berjaya menemui mayat mangsa kira-kira 6.30 petang.

Mayat Mohd Fauzi dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk dibedah siasat sebelum dituntut anggota keluarganya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain