suria

Mahkamah Tolak Saman Fitnah DAP Terhadap EXCO Pelancongan Melaka

MELAKA: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak dengan kos saman fitnah RM800,000 yang difailkan Pengerusi DAP Melaka Goh Leong San terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka Datuk Seet Har Cheow empat tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki dalam keputusannya berkata plaintif gagal membuktikan perkataan yang dikatakan fitnah tersebut adalah merujuk khusus kepada plaintif.

"Kenyataan (yang dikeluarkan Seet) ditujukan kepada DAP dan bukannya khusus kepada plaintif," katanya.

Beliau berkata dalam menentukan sama ada sesuatu perkataan itu mempunyai maksud fitnah, ia dilihat daripada konteks keseluruhan kenyataan defendan.

Pada 2 Oktober 2006, Goh yang kini Anggota Dewan Undangan Negeri Kesidang, memfailkan saman fitnah terhadap Seet yang didakwa mengeluarkan perkataan "Goh Leong San bermuka dua" pada satu sidang akhbar di Wisma MCA, Jalan Hang Tuah di sini, pada 1 Ogos 2006.

Dalam pernyataan tuntutan samannya, Goh mendakwa Seet mengeluarkan kenyataan tersebut ketika bercakap kepada pemberita dari akhbar berbahasa Cina berkaitan isu Muzium Cheng Ho yang pernah dibangkitkan oleh beliau (Goh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka.

Seet yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Klebang, diwakili peguam Lawrence Tan Boon Twee manakala Goh diwakili peguam Damian Yeo Shen Li.

Bercakap kepada pemberita, Damian Yeo berkata mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan dalam tempoh terdekat ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain