suria

Kastam Terengganu Membuat Rampasan Bernilai RM556,000

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu berjaya merampas pelbagai barangan yang belum lulus Kastam bernilai lebih RM556,000 dengan cukai RM1.1 juta sepanjang dua bulan pertama tahun ini.

Pengarah Kastam negeri Datuk Azis Yacub berkata rokok adalah barangan yang paling banyak dirampas melibatkan lima kes bernilai RM271,912 dengan cukai RM943,531.

"Selain itu, tiga kenderaan telah kita rampas yang melibatkan tiga kes dan bernilai RM93,000 dengan cukai terlibat RM136,735, manakala mercun, satu kes dengan nilai RM191,400 dengan cukai terlibat adalah berjumlah RM116,317 serta beras, satu kes yang melibatkan nilai sebanyak RM330 dengan cukai terlibat RM214.

"Jumlah orang yang ditahan sepanjang dua bulan pertama ini ialah lapan orang. Mereka ditahan atas beberapa kesalahan di bawah Akta Kastam 1967," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pejabat Penguatkuasa Kastam di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan barang-barang belum lulus Kastam kerana ia adalah satu kesalahan dan boleh didakwa mengikut Akta Kastam 1967.

Mengikut akta itu, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu beliau turut menyerahkan kenderaan lucut hak Kastam kepada lima buah sekolah termasuk Pusat Giat Mara dan sebuah kolej universiti.

Lima sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teknik Wakaf Tembesu yang menerima tiga buah kenderaan, SMK Kijal Kemaman (sebuah), SMK Teknik Dungun (tiga buah), SMK Sultan Omar, Dungun (dua buah) dan Pusat Giat Mara Bukit Payung (dua buah) manakala Kolej Universiti TATI (TATiUC) menerima empat buah kenderaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain