suria

UMNO Perlu Berhati-hati Pembangkang Ajak Berbincang - Zahid

KUALA LUMPUR: Umno perlu berhati-hati dalam menimbang pelawaan pihak pembangkang untuk berbincang atau bekerjasama bagi mengelakkan terperangkap dengan mainan politik sempit, kata Naib Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau percaya perkara serupa juga dilakukan parti pembangkang apabila Umno atau Barisan Nasional (BN) membuat tawaran sedemikian.

"Jika kita tidak mengambil langkah berhati-hati, nanti setiap apa yang kita lontarkan, dikhuatiri akan di'putar belitkan' dan dimain-mainkan untuk kepentingan politik sempit yang akhirnya memporak perandakan negara dan memecah belahkan rakyat," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau yang sebelum itu menerima lawatan delegasi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Institusi Pengajian Tinggi Awam (Palapes IPTA) ke kementeriannya diminta mengulas pendirian Umno berhubung tawaran Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bermuzakarah dengan Umno demi kepentingan agama Islam.

Ahmad Zahid yang berpendapat perbincangan itu sebagai langkah positif bagaimanapun meminta PAS agar menetapkan pendirian sebelum memfokuskan kepada isu yang harus dibincang.

"Perbincangan itu tidak salah direalisasikan demi kepentingan negara, ummah dan juga kepentingan rakyat dengan diterjemahkan dalam bentuk ukhwah dan rasa persaudaraan tetapi dengan syarat isu-isu di hadapan kita tidak dimanipulasikan dan dipolitikkan.

"Justeru PAS harus menentukan pendirian mereka dan apabila mereka telah jelas mengenai pendirian mereka barulah kita memfokuskan kepada isu-isu yang harus dibincangkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain