suria

Tiga Pelajar Sekolah Ditahan Kerana Menyamun

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar lelaki sekolah menengah yang lengkap beruniform ditahan polis sejurus selepas mereka menyamun seorang lelaki warganegara Pakistan di Selayang pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.35 pagi apabila lelaki berusia 31 tahun itu didatangani oleh empat pelajar sekolah berusia 17 tahun ketika sedang berjalan kaki.

Beliau berkata keempat-empat pelajar itu kemudian memukul mangsa dan menyamun wang tunai RM130, sebuah telefon bimbit serta salinan pasport milik mangsa sebelum melarikan diri.

Katanya anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan berhampiran terlihat kejadian itu lalu mengejar keempat-empat pelajar itu yang bertindak melarikan diri ke Jalan Sungai Tua.

Abdul Rahim berkata bagaimanapun hanya tiga pelajar yang dapat diberkas manakala seorang lagi melarikan diri dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan pelajar itu.

Katanya ketiga-tiga pelajar itu ditahan reman di Balai Polis Selayang sehingga Jumaat untuk disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain