suria

SPRM Tubuh Unit Operasi Khas Kendali Kes Profil Tinggi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menubuhkan Unit Operasi Khas bagi mengendalikan kes rasuah berprofil tinggi yang dilaporkan kepada suruhanjaya itu.

Menurut Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil, unit tersebut kini masih menunggu kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Kita sering berada dalam dilema bila ia melibatkan kes berprofil tinggi. Kita harap langkah ini dapat menunjukkan SPRM tegas dalam membanteras kes rasuah yang melibatkan pemimpin politik dan mereka yang berpengaruh di negara ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di sini semalam.

Hadenan berkata, idea itu telah dikemukakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim dalam taklimat SPRM kepada jawatankuasa itu semalam.

Jelasnya, jawatankuasa berkenaan meletakkan sasaran tempoh enam bulan untuk menyelesaikan kes berprofil tinggi yang dilaporkan kepada suruhanjaya itu.

"Saya rasa apa yang kita perlukan sekarang ialah lebih ramai pegawai perhubungan awam supaya mereka dapat memberi penerangan kepada masyarakat mengenai rasuah. Ini bagi mengembalikan kenyakinan orang ramai terhadap SPRM.

"Soal memulihkan kembali persepsi masyarakat terhadap SPRM merupakan satu tugas yang besar terutamanya bila ia melibatkan kes yang berprofil tinggi,” katanya.

Sementara itu, Hadenan yang juga bekas Ketua Audit Negara berkata, SPRM akan mengambil tindakan terhadap saksi yang berpaling tadah selepas melaporkan kes itu kepada suruhanjaya berkenaan.

"Kita beri amaran mana-mana saksi yang berpaling tadah, mereka ini akan dikenakan tindakan yang setimpal berdasarkan peruntukan undang-undang SPRM. Kita akan mengenakan denda yang maksimum bagi saksi sebegini,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian SPRM terdapat saksi yang berpaling tadah ini memberi kenyataan yang berbeza pada hari perbicaraan.

"Pada hari perbicaraan saksi ini telah menukar 100 peratus kenyataan yang diberikan kepada SPRM.

"Kita telah dapat mengenalpasti beberapa kes sebegini dan perkara tersebut telah mengakibatkan SPRM gagal untuk mendakwa tertuduh dalam sesuatu kes tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Hadenan berkata, nilai denda yang dicadangkan itu masih belum diputuskan lagi oleh SPRM.

Katanya, berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan pihaknya mendapati prestasi SPRM pada tahun 2009 adalah baik.

"Sepanjang tahun 2009, sebanyak 939 kes yang dilaporkan dan daripada jumlah itu, 633 kes telah diserahkan kepada unit pendakwaan SPRM untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Bagi saya pencapaian ini agak membanggakan kerana hampir 70 peratus kes telah berjaya diselesaikan,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain