suria

Penyokong Zambry, Nizar Berhimpun Di Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Perkarangan Kompleks Istana Kehakiman di sini dibanjiri kira-kira 300 penyokong kedua-dua pihak - Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi menanti keputusan teka-teki siapakah Menteri Besar Perak yang sah dari sudut undang-undang.

Seawal pukul 8 pagi, kira-kira 150 penyokong Zambry dengan memakai kemeja-T kuning yang tertera perkataan 'Daulat Tuanku' berkumpul dengan membawa kain rentang.

Dipercayai kumpulan berkenaan terdiri daripada Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak.

Hari ini panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff akan mengumumkan keputusan mereka sama ada Zambry daripada BN kekal sebagai Menteri Besar atau Mohammad Nizar daripada Pakatan Rakyat mendapat semula jawatan itu.

Penghakiman itu juga akan merungkai isu perlembagaan sama ada ketua negeri boleh membuat pertimbangan dengan mengatasi undang-undang sedia ada dalam menentukan sama ada ketua kerajaan telah hilang kepercayaan daripada majoriti wakil-wakil yang dipilih.

Artikel Berikut

Artikel Lain