suria

Pemimpin BN Sambut Baik Keputusan Zambry Kekal MB

KUALA LUMPUR: Para pemimpin Barisan Nasional (BN) menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak dan berharap semua pihak menerima keputusan berkenaan.

Mereka berkata adalah penting bagi semua pihak membenarkan Zambry menumpukan perhatian untuk membangunkan dan melaksanakan program dirancang bagi memajukan Perak.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata semua pihak mestilah menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

"Keluhuran undang-undang mestilah ditegakkan. Dalam tempoh setahun lepas, kita telah melihat bagaimana perkara ini dimainkan. Apabila keputusan memihak kepada mereka, tiada bantahan satu perkataan pun, tetapi bila ia tidak memihak mereka, ketika itu mereka cuba mencetuskan kacau bilau," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ong, yang sedang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan minggu lepas, berharap dengan keputusan hari ini, kerajaan Perak pimpinan BN akan terus gigih berkhidmat untuk rakyat.

Presiden MIC dan bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata beliau gembira dengan keputusan itu kerana ia membawa perkembangan positif untuk Perak.

Samy Vellu, bekas anggota parlimen Sungai Siput di Perak, berkata Zambry telah menunjukkan kualiti kepimpinan yang kuat sejak menjadi Menteri Besar.

"Saya yakin beliau (Zambry) akan dapat memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Beliau berlaku adil kepada semua kaum dan membawa pembangunan," katanya.

Pengerusi MCA Perak Datuk Seri Kong Cho Ha berkata MCA negeri berharap semua pihak menerima keputusan mahkamah dan tidak cuba menimbulkan kekacauan di negeri itu.

"Saya memohon setiap orang menghormati keputusan mahkamah dan bertenang. Sudah tiba masanya rakyat Perak melangkah ke hadapan," katanya.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP-PAS-PKR setelah berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan Negeri.

Pengerusi MIC Perak Datuk S. Veerasingam berkata lunas-lunas demokrasi iaitu pihak yang majoriti perlu mentadbir negeri dan bukannya pihak minoriti, harus sentiasa dikekalkan.

Beliau berkata prinsip demokrasi berkenaan telah ditegakkan dengan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan hari ini.

Katanya pihak pembangkang di Perak hendaklah memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri BN dan menunggu pilihan raya umum akan datang jika berhasrat menawan semula negeri itu daripada BN.

Veerasingam, yang juga Penasihat Khas Menteri Besar Perak, berkata ketika ini pembangkang di Perak sewajarnya menumpukan kepada kepentingan rakyat Perak yang inginkan pembangunan dan keamanan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri BN, Datuk Nadzri Ismail berkata keputusan sebulat suara itu menunjukkan segala tindakan ketika proses B Nmengambilalih pentadbiran negeri dilakukan mengikut saluran yang betul.

"Keputusan sebulat suara, 5-0, menunjukkan satu keputusan yang cukup kuat terhadap kesahan kerajaan negeri BN," katanya.

Timbalan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Perak, Dr Naran Singh berkata pembangkang seharusnya mengajak rakyat Perak untuk sama-sama menghormati keputusan mahkamah tertinggi dalam negara.

Beliau berkata ini kerana isu siapa Menteri Besar Perak yang sah telah dibawa oleh pembangkang sendiri ke mahkamah yang menunjukkan mereka percaya dan mahu mahkamah membuat keputusan berhubung isu berkenaan.

"Jadi, apabila mahkamah sudah buat keputusan, mereka kena terima dan percaya dengan keputusan itu," kata beliau yang juga seorang peguam. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain