suria

Ops Sikap: 13 Kematian Hari Kedua

KUALA LUMPUR: Enam daripada 13 kematian yang dicatatkan pada hari kedua Ops Sikap ke-21 sempena Tahun Baru Cina semalam melibatkan pengguna kereta.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman Supt Rasdi Ramli berkata tujuh lagi kematian akibat kemalangan jalan raya semalam membabitkan lima kes motosikal dan dua kes pejalan kaki.

Sebanyak 1,185 kemalangan dicatatkan pada hari kedua Ops Sikap itu yang dilancar sempena sambutan Tahun Baru Cina, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rasdi berkata daripada jumlah itu, sebanyak 101 kemalangan berlaku di lebuh raya, 229 di jalan persekutuan, 188 jalan negeri, 610 jalan bandaran dan 57 lagi di jalan-jalan lain.

Beliau berkata dalam tempoh itu, lapan kemalangan maut dicatatkan iaitu dua di lebuh raya, satu di jalan persekutuan, tiga di jalan negeri dan dua di jalan bandaran. Sebanyak 9,786 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya berbanding 10,097 saman dikeluarkan semalam, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain