suria

Koperal Polis Bebas Tuduhan Rasuah RM15,600

KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat koperal dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15,600, lebih enam tahun lepas.

Hakim Hassan Abd Ghani memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap Koperal Mohd Fuzi Mohd Tahir, 55, dari cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Dalam penghakimannya, Hassan berkata saksi kedua pendakwaan iaitu Mohd Nasir Muda mempunyai kepentingan dalam kes itu kerana turut didakwa dalam satu kes dadah sementara keterangan saksi penting lain tidak diperolehi.

Mohd Fuzi didakwa secara rasuah meminta satu suapan wang tunai sebanyak RM2,000 daripada Noraini Daud sebagai dorongan untuk melepaskan sebuah kereta jenis Honda Civic Ferio yang disita polis.

Di didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sembang-Sembang Corner, Pusat Membeli-Belah Kuantan Parade, di sini, pada pukul 12.30 tengah hari, 29 Nov 2003.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperoleh suapan sebanyak RM1,600 daripada Mohd Nasir sebagai dorongan untuk tujuan sama di stesen minyak Caltex Batu 12, di sini, kira-kira 11 malam, 6 Dis 2003.

Dalam pertuduhan ketiga, Mohd Fuzi didakwa meminta suapan berjumlah RM7,000 daripada Mohd Nasir sebagai dorongan melepaskan kereta jenis Honda Accord dan Proton Wira yang disita polis di tempat dan waktu yang sama.

Mohd Fuzi turut dituduh cuba memperoleh RM5,000 daripada Mohd Nasir untuk tujuan sama di perkarangan balai polis Beserah kira-kira 5.25 petang, 15 Dis 2003.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10 (a)(bb) dan Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara mandatori 14 hari sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan yang mana nilainya lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Safina Shabudin sementara Mohd Fuzi diwakili peguam Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Dalam kes berasingan, seorang pekerja kilang besi buruk dikenakan hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan memiliki sejumlah 15.26 gram dadah, lebih setahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mariana Yahya memerintahkan K. Magendran, 24, menjalani hukuman itu dari tarikh tangkapan pada 2 Nov 2008 selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan.

Dia didakwa memiliki 12.32 gram heroin dan 2.94 gram monoacetylmorphines di Lorong Cherating Perdana 10, dekat sini, kira-kira 9 malam, 2 Nov 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan.

Sebelum ini, Magendran menghadapi tuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, namun Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh kemudian mengemukakan pertuduhan pilihan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain