suria

Kerani Dakwa Kerugian Akibat Ditipu Agensi Pembantu Rumah

KUALA LUMPUR: Seorang kerani mendakwa sebuah agensi yang membekalkan pembantu rumah di Taman Tun Dr Ismail di sini menyebabkannya kerugian kira-kira RM8,415 apabila pembantu rumah yang baru digajinya tidak sampai dua bulan melarikan diri.

Malah lebih membimbangkan pembantu rumah itu sanggup meninggalkan dua orang anaknya yang berusia empat tahun dan setahun enam bulan di dalam rumah mertuanya di Petaling Jaya dalam keadaan pintu rumah terbuka.

Mangsa, Lau Choon Lam, 41, berkata pembantu rumah yang dikenali sebagai Umiyati yang berasal dari Lampung, Sumatera Selatan, Indonesia telah melarikan diri pada 15 Jan lepas ke syarikat agensi itu selepas beliau membawa pembantu rumah tersebut ke rumah mertuanya.

Menurut Lau pembantu rumahnya itu melarikan diri selepas membuang sampah di belakang rumah dan kehilangannya disedari oleh ibu mertua setelah mendapati Umiyati tidak pulang ke rumah selepas 30 minit membuang sampah.

Beliau mengesyaki Umiyati mungkin telah merancang untuk melarikan diri dengan pakaiannya berada di luar rumah sebelum melarikan diri serta turut meminta bantuan daripada orang lain untuk ke agensi itu.

"Pada minggu pertama bekerja, pembantu rumah saya memberitahu dia tidak ingin bekerja lagi dengan alasan beliau sering dibawa ke rumah mertua saya dan dia tidak biasa di sana.

"Kami tidak mengesyaki sesuatu yang mencurigakan terhadapnya malah dia menjaga anak saya dengan baik. Saya bernasib baik kerana dia tidak melarikan anak saya bersamanya," katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, hari ini.

Berikutan itu Lau telah pergi ke agensi tersebut keesokan harinya untuk mengambil pembantu rumah yang baru namun beliau telah diberitahu oleh seorang wakil jualan agensi itu bahawa Umiyati melarikan diri kerana tidak suka menjaga kanak-kanak.

"Saya berasa terkilan dengan agensi itu yang memberitahu saya sebelum ini bahawa Umiyati memiliki kriteria yang diperlukan dalam borang perjanjian malah mereka mahu saya membayar sejumlah wang untuk mendapatkan pembantu rumah yang baru."

Sementara itu Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata agensi itu mungkin menjadi dalang dalam kes ini dan perbuatan Umiyati bersama agensi terbabit sememangnya tidak bertanggungjawab dan mereka mungkin telah merancang sindiket ini.

Sehubungan itu, Chong telah melaporkan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat kes tersebut. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain