suria

Diskaun 10 Peratus Tol Lebuh Raya SMART Pada Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Smart hari ini mengumumkan diskaun 10 peratus kepada kadar tolnya pada hari pertama Tahun Baru Cina Ahad ini.

Pengurus Besar (Operasi) Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd Mohd Fuad Kamal Ariffin berkata tawaran sehari itu adalah bagi menyokong usaha syarikat konsesi tol lain yang memberi insentif diskaun tol antara lima peratus hingga 20 peratus sempena sambutan Tahun Baru Cina seperti diumumkan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor semalam.

"Ini kali pertama kita mengambil bahagian dalam pemberian diskaun ini, yang bermula dari pukul 12 malam Sabtu hingga 11.59 malam Ahad," katanya kepada pemberita selepas melancarkan lorong tambah nilai Touch n' Go di Lebuhraya Smart, di sini hari ini.

Katanya dua lorong tambah nilai Touch n' Go disediakan semenjak Selasa lepas bagi membantu pengguna lebuh raya itu membuat tambah nilai kepada kad pra-bayar Touch n' Go tanpa perlu turun dari kenderaan mereka.

"Perkhidmatan di arah Selatan dan Utara ini bermula dari pukul 9.30 pagi sehingga 4.30 petang bagi mengelakkan kesesakan yang mungkin akan berlaku sekiranya lorong tambah nilai Touch n' Go ini beroperasi pada waktu puncak," katanya.

Bagi Lebuhraya Smart, penggunaan kad elektronik Touch n' Go oleh pengguna adalah sebanyak 62 peratus. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain