suria

Umno Sentiasa Buka Pintu Rundingan Pada PAS

TEMERLOH: Umno sentiasa membuka pintu rundingan kepada PAS terutama bagi membincangkan isu agama Islam dan perpaduan orang Melayu, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, Umno bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk berunding, namun PAS perlulah bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam melaksanakan perkara itu.

"Umno sejak dulu lagi sedia untuk berunding dengan PAS dalam apa juga isu, bagaimanapun mereka yang sentiasa berdolak-dalik dan mengenakan pelbagai syarat," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengajak Umno untuk berbincang berkaitan isu-isu agama Islam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kesediaan parti itu untuk mengadakan perbincangan membuktikan Umno sentiasa ikhlas dan bersikap tolak ansur.

"Kita harap Menteri Besar Kelantan itu juga jujur, ikhlas dan bertolak ansur serta tidak meletakkan syarat demi kebaikan bersama," katanya.

Tambah beliau, kesediaan Umno itu bukanlah sebagai satu mainan politik tetapi demi kebaikan rakyat negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain