suria

Polis Serbu Tiga Kafe Internet Di Taman Pusat Kepong

KUALA LUMPUR: Tiga buah premis kafe internet di Taman Pusat Kepong, diserbu polis pada pukul 10.30 malam tadi kerana menjalankan kegiatan mesin judi berkomputer.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam Ops Dadu (operasi memerangi perjudian) itu, seramai 19 orang termasuk tiga pelanggan perempuan dan tiga penjaga premis tersebut ditahan.

Dalam operasi yang berakhir pada pukul 12.50 pagi itu, polis merampas 52 mesin judi berkomputer dan wang tunai berjumlah RM800.

"Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 60 tahun," katanya ketika dihubungi pagi ini.

Tinjauan mendapati, ketiga-tiga premis ini berselindung di sebalik perniagaan kafe berinternet untuk mengaburi pihak berkuasa.

Selain itu, di antara perjudian yang gemar dimain oleh hampir kesemua pelanggan terbabit ialah 'Online Rolex Casino' dan 'Computer Chip' dengan pertaruhan minimum sebanyak RM1.

Zakaria berkata, ketiga-tiga premis tersebut telah aktif beroperasi sejak tiga bulan lalu dan pihak polis telah menyerbu premis tersebut beberapa kali.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau dipenjara sehingga lima tahun.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata pada bulan Januari lepas, pihaknya telah membuat 125 serbuan (Ops Dadu) dengan 54 tangkapan dan sebanyak 400 buah komputer telah dirampas di seluruh daerah Sentul.

Operasi tersebut diketuai oleh Cif Inspektor Dean Jonathan dari Cawangan Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur dan dianggotai oleh dua pegawai dan lapan anggota polis. - BERNAMA

Artikel Lain