suria

Polis Patahkan Sembilan Kes Seludup Syabu Melibatkan Warga Iran

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan sembilan kes penyeludupan dadah dipercayai Syabu melibatkan warga Iran dalam tempoh dua bulan ini dengan nilai rampasan kira-kira RM10.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Zulhasnan Najib Baharudin berkata tujuh kes merupakan cubaan menyeludup masuk dadah tersebut melalui pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala dua kes lagi membabitkan anggota sindiket pengedaran yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang yang ditahan di kediaman mewah dan hotel bertaraf lima bintang.

Katanya, daripada 11 operasi yang dijalankan, seramai 39 orang telah ditahan yang terdiri daripada 34 orang warga Iran, tiga rakyat tempatan dan masing-masing seorang warganegara Filipina dan Singapura.

"Dadah jenis Syabu seberat 42kg yang dianggarkan bernilai RM10.5 juta (RM250,000 sekilogram) dan wang tunai berjumlah RM225,850 dirampas," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan berumur antara 15 hingga 58 tahun termasuk sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka.

Zulhasnan berkata modus operandi yang sering digunakan bagi membawa masuk dadah itu ialah dengan cara menelan dadah yang dibentuk seperti pil seberat tujuh dan 10 gram, menyembunyikan dadah di dalam bagasi atau botol penyembur rambut dan mencelup pakaian dengan dadah yang dicairkan.

Beliau berkata bagi dadah yang ditelan, suspek mampu menelan sehingga 200 biji ketika perut kosong dan dadah ini akan dikeluarkan melalui najis.

Katanya dadah berkenaan dipercayai dibawa dari negara Iran melalui Dubai sebelum masuk ke Malaysia serta negara-negara Asia yang lain untuk pasaran tempatan dan luar.

"Kita percaya mungkin ada lebih dari dua sindiket yang masih bergiat aktif. Kita akan terus mendapatkan maklumat dengan negara-negara luar termasuk Iran bagi mengesan sindiket-sindiket ini," katanya.

Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, polis menahan 24 orang warganegara Iran dan merampas sejumlah 17kg dadah jenis Syabu. - BERNAMA

Artikel Lain