suria

Polis Johor Berkas 60 Peragut Sejak Januari

JOHOR BARU: Polis Johor memberkas 60 peragut sejak Januari lepas dalam pelbagai operasi di seluruh negeri.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang menyifatkan peragut sebagai "parasit" berkata, 33 daripada peragut yang ditahan itu telah dikenakan tindakan undang-undang.

Bercakap kepada pemberita selepas melakukan rondaan jalan kaki di Jalan Meldrum di sini bersama pegawai kanan polis Johor hari ini, beliau berkata kejayaan menahan 60 peragut itu adalah hasil usaha keras anggota polis di negeri itu untuk membanteras jenayah menerusi beberapa tindakan termasuk mengerahkan lebih ramai anggota polis meronda di jalan raya.

Mohd Mokhtar berkata, rondaan di jalan raya bukan hanya dilakukan oleh anggota pangkat rendah tetapi juga oleh pegawai-pegawai.

"Usaha ini mula membuahkah hasil apabila kadar jenayah di Johor dari Januari hingga kini telah turun sebanyak 10.88 peratus, dengan kadar penyelesaian kes sebanyak 44.2 peratus," katanya.

Kadar jenayah Johor pada tahun lepas menurun sebanyak 2.21 peratus. - BERNAMA

Artikel Lain