suria

Penjawat Awam Dinasihat Bijak Manfaatkan Laman Sosial

KANGAR: Raja Muda Perlis hari ini menasihatkan penjawat awam supaya memanfaatkan laman sosial melalui internet secara bijak dan berhemah agar mereka tidak terperangkap sehingga boleh membocorkan rahsia kerajaan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bimbang keghairahan menggunakan laman sosial termasuk facebook mungkin menyebabkan ada perkara-perkara rahsia yang terbongkar secara tidak sengaja.

"Sungguhpun banyak yang baik boleh diperoleh (melalui laman sosial) namun mungkin ada pihak mengambil kesempatan daripada kelalaian penjawat awam," titah baginda semasa merasmikan Smoke House Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis di sini hari ini.

Baginda bertitah perbuatan membocorkan rahsia jabatan dan agensi sama ada secara sedar atau tidak sengaja amat merbahaya kepada kerajaan selain mengundang padah pada diri sendiri.

Baginda bimbang ada kemungkinan rakan-rakan dalam laman sosial yang berkepentingan tertentu akan mencungkil rahsia kerajaan secara halus dengan meminta pandangan tertentu daripada penjawat awam.

"Jangan sudah terhantuk baru terngadah. Ibarat nasi sudah menjadi bubur jika perkara tidak diingini berlaku gara-gara kesilapan sendiri," titah baginda pada majlis yang turut dihadiri ketua-ketua jabatan dan anggota-anggota Rejimen 504 Askar Wataniah.

Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah, tanggungjawab mempertahankan negara bukan sahaja terletak di bahu anggota keselamatan tetapi juga penjawat awam yang berdisplin tinggi.

Menurut baginda, laman sosial akan memberi manfaat besar jika mereka bijak menggunakannya untuk mewujudkan rangkaian hubungan ke arah perpaduan kaum, mewujudkan rangkaian perniagaan serta mencari rakan yang lama terpisah.

Raja Muda turut menasihati pelajar supaya tidak menjadikan laman sosial sebagai medan gurauan yang boleh menimbulkan keresahan umum, sebaliknya meminta mereka menggunakannya untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui jaringan persahabatan dengan rakan-rakan secara maya.

Pada majlis itu, baginda melawat makmal Smoke House berbentuk kapal yang merupakan antara kemudahan terkini pelajar jurusan Marin IKBN Kuala Perlis. - BERNAMA

Artikel Lain