suria

Mayat Bayi Ditemui Ditanam Di Belakang Kilang

BUKIT MERTAJAM: Mayat bayi perempuan berbungkus plastik dipercayai baru dilahirkan ditemui ditanam di belakang sebuah kilang berhampiran Taman Pelangi di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abdullah berkata mayat bayi yang cukup sifat itu dipercayai telah meninggal dunia sebelum ditanam di situ.

"Beberapa orang awam melihat dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan mengorek dan menanam sesuatu di belakang kawasan kilang berkenaan pada kira-kira 3.30 petang.

"Sebaik dua lelaki terbabit meninggalkan kawasan itu dengan menaiki motosikal, mereka pergi mengali semula dan menemui satu bungkusan mayat bayi sebelum menghubungi polis," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

"Kita belum dapat mengenal pasti identiti dan bangsa bayi perempuan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya dan menurutnya polis sedang mengesan dua lelaki yang menanam mayat bayi itu.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain