suria

Majikan Mula Komitmen Banteras Pendatang Tanpa Izin - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Golongan majikan di negara ini mula menunjukkan komitmen dalam membantu kerajaan membanteras masalah pekerja asing tanpa izin dengan menggerakkan pelbagai usaha ke arah itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mereka juga telah berikrar untuk memberikan komitmen sepenuhnya bagi menyelesaikan masalah itu.

"Saya menerima respon positif daripada pihak majikan...malah, sebahagian wakil-wakil persatuan yang datang menemui saya telah mula menggerakkan usaha masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata antaranya ialah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim SeMalaysia (Presma) yang telah mula bergerak ke beberapa negeri untuk mendapatkan komitmen ahli agar berhenti daripada mengambil pekerja asing secara haram.

"Gabungan Persatuan Pengusaha Cina dan India yang datang menemui saya Jumaat lepas pula telah memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas untuk memanggil kesemua ahli badan gabungan untuk bekerjasama dalam agenda membendung kebanjiran warga asing ini," katanya.

Hishammuddin berkata pada masa sama kementerian akan terus mengetatkan dasar, syarat dan prosedur pengambilan pekerja asing.

Beliau berkata ruang untuk pekerja asing baru tidak boleh terus dibuka sekiranya mereka yang tamat tempoh kontrak masih belum meninggalkan negara ini.

"Semua pihak perlu memahami tindakan dan ketegasan kerajaan dalam hal ini demi menjamin keselamatan negara sentiasa terpelihara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain