suria

Kes Anwar Ditangguh Untuk Dengar Permohonan Supaya Hakim Tarik Diri

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tertuduh ditangguhkan sehingga esok bagi mendengar permohonan ketua pembangkang itu supaya Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada mendengar kes itu kerana dianggap berat sebelah.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, membuat permohonan itu berdasarkan keputusan hakim berkenaan berhubung dua artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia yang disifatkannya sebagai mempunyai elemen berat sebelah.

Hakim Mohamad Zabidin kemudiannya menyoal Karpal Singh tentang bila pihak pembelaan mahu mahkamah mendengar permohonan itu, sama ada pada petang ini atau pagi esok.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pihak pendakwaan pula berkata, perbicaraan kes itu sepatutnya diteruskan hari ini sementara pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan Anwar.

Mahkamah kemudian memutuskan untuk mendengar permohonan itu pagi esok bagi memberi peluang kepada pendakwaan memfailkan afidavit tersebut.

Terdahulu, Karpal Singh berhujah bahawa mahkamah perlu mendengar permohonan itu terlebih dahulu sebelum meneruskan perbicaraan kes Anwar dan berkata pihak pembelaan tidak mempunyai niat untuk melengah-lengahkan prosiding malah bersedia menjalankan pemeriksaan balas terhadap saksi pertama pendakwaan, iaitu pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau juga berkata, anak guamnya berhak mendapat satu perbicaraan yang adil selaras dengan peruntukan mengikut Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini, mahkamah dijadual mendengar keterangan Mohd Saiful dalam pemeriksaan balas oleh pembelaan selepas pendakwaan selesai menjalankan pemeriksaan utama Jumaat lepas.

Anwar, 63, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, didakwa meliwat Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan kes liwat yang menarik perhatian ramai termasuk wakil media luar negara itu bermula Rabu lepas (3 Februari) iaitu 18 bulan setelah Anwar dihadapkan ke mahkamah buat kali pertama pada 7 Ogos 2008. - BERNAMA

Artikel Lain