suria

Kementerian Pertanian Peruntuk Lebih RM55 Juta Bantu Petani Miskin Tegar

MACHANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan lebih RM55 juta bagi membantu 68,000 petani di seluruh negara keluar daripada kelompok kemiskinan tegar menerusi projek-projek pertanian.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Meriam Mas Yaacob berkata, program itu membabitkan 60 kawasan Parlimen khususnya di Kelantan, Terengganu, Kedah, Sabah dan Sarawak.

"Bagi negeri Kelantan Jajahan Pasir Puteh dipilih untuk dimajukan di bawah program itu yang membabitkan 100 orang petani," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Kerajaan Persekutuan Kepada Peladang di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Machang, di sini hari ini.

Antara peralatan yang diserahkan beliau ialah jentera pembajak, pemotong rumput dan penyembur racun membabitkan peruntukan lebih RM2 juta

Mengulas lanjut Meriam berkata, para petani yang menganggotai PPK Semerak, PPK Tiga Daerah dan PPK Bukit Awang itu akan mengusahakan tanaman cili kulai secara fertigasi yang membabitkan peruntukan RM1 juta.

Beliau berkata, bagi negeri lain mereka akan mengusahakan bidang ternakan, industri cendawan dan industri kecil dan sederhana (IKS) dengan kerjasama agensi-agensi di bawah kementerian itu.

Terdahulu ketika berucap, Meriam menyelar sikap sesetengah petani yang bertindak menjual peralatan yang diberikan kerajaan kepada mereka untuk mendapatkan keuntungan segera.

Beliau berkata, keadaan itu adalah salah satu faktor menyebabkan taraf hidup sesetengah petani berkenaan sukar diubah.

"Ada di antara mereka sudah dibantu oleh kerajaan hampir 10 kali tetapi kedudukan (ekonomi) mereka tidak juga berubah iaitu masih berada pada tahap lama," katanya.

Menyedari hakikat itu, Meriam berkata pihaknya akan mengemaskini rekod golongan petani miskin di seluruh negara yang akan turut melibatkan jumlah bantuan yang diterima mereka. - BERNAMA

Artikel Lain