suria

Kementerian Pertahanan Sasar Tubuh Palapes Di Lima Lagi IPTA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menetapkan sasaran untuk menubuhkan sekurang-kurangnya satu kompeni Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di lima Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai satu daripada petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai dalam tempoh dua tahun.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan penubuhan lima buah unit Palapes itu dalam tempoh dua tahun dari tahun ini, dijangkakan seramai 1,000 hingga 1,200 pelajar akan menyertai sebagai salah satu aktiviti kokurikulum.

Lima IPTA tersebut adalah Universiti Malaysia Pahang, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Darul Iman di Terengganu,katanya kepada pemberita selepas majlis lawatan delegasi Palapes IPTA ke Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Beliau berkata buat masa ini sebanyak 15 buah IPTA telah menubuhkan Palapes masing-masing dengan keanggotaan keseluruhan seramai 3,963 pelajar.

Katanya penubuhan Palapes di IPTA dapat melahirkan lulusan yang patriotik, dedikasi dan dinamik serta berkebolehan di dalam pelbagai bidang yang sangat diperlukan untuk modal insan di negara ini selain landasan untuk meneruskan perkhidmatan sebagai pegawai sukarela atau pegawai kerahan atau pegawai tetap di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, bagaimanapun hasrat untuk merealisasikan Palapes sebagai salah satu aktiviti kokurikulum pelajar di institusi tersebut adalah bergantung kepada peruntukan yang disediakan kerajaan.

"Kementerian memperuntukkan perbelanjaan mengurus Palapes berjumlah RM8.2 juta setiap tahun bagi ketiga-tiga perkhidmatan dan kita jangka kos untuk menubuhkan lima unit Palapes di lima IPTA tersebut memakan belanja sebanyak RM10 juta".

Katanya, kos perbelanjaan tersebut adalah dalam bentuk elaun latihan dan pakaian serta aktiviti latihan kadet Palapes namun itu tidak termasuk emolumen gaji tenaga pengajar angkatan tetap serta kemudahan infrastuktur dan peralatan untuk latihan mereka.

Tambahnya, setiap pegawai kadet Palapes dibayar elaun latihan sebanyak RM2,425.89 setiap tahun sebagai insentif dari kerajaan atas dasar sukarela dan keaktifan mereka menghadiri latihan ketenteraan.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian tersebut sedang berusaha untuk menambahbaik dan menyemak semula beberapa elaun untuk angkatan sukarela, khususnya pemberian saguhati tahunan dan juga geran pakar bagi unit-unit regimen pakar.

Ahmad Zahid berkata kadar elaun berkenaan wajar disemak semula selepas sembilan tiada kenaikan.

"Kita rasakan kenaikan itu perlu sejajar dengan beban tugas. Kini, kedua-dua jenis elaun tersebut sedang dalam kajian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan perbendaharaan.

"Pemberian saguhati tahunan juga turut melibatkan pegawai staf dan pegawai kadet Palapes yang aktif menghadiri latihan serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.

Mengenai kehilangan dua enjin pesawat pejuang F-5E yang kini dikesan berada di Uruguay, beliau berkata kementerian tidak mengetahui destinasi terakhir enjin tersebut hendak dihantar.

"Kita sedang menunggu laporan siasatan dari peguam negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan kita rasa mereka sahaja yang mengetahui butir-butir tersebut," katanya.

Terdahulu, dalam majlis itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu Prof Dr Aziz Deraman dipakaikan pangkat Kapten (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM).

Dalam majlis itu juga, seramai 24 pemain bola sepak ATM yang bukan anggota ATM diserapkan sebagai Askar Wataniah. - BERNAMA

Artikel Lain