suria

38 Warga Asing Disyaki Terlibat Aktiviti Dagang Manusia Ditahan

JOHOR BARU: Polis Johor menahan seorang lelaki warga Singapura dan 37 warga asing lain termasuk dua kanak-kanak daripada Filipina dan Vietnam, dua hari lepas kerana disyaki terlibat di dalam aktiviti perdagangan manusia.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, anggota polis telah menyerbu sebuah rumah di Taman Universiti, Skudai, yang menempatkan kesemua warga asing itu.

"Warga Singapura yang ditahan itu telah ditahan reman selama lima hari untuk siasatan, manakala kesemua 37 warga asing lain negara termasuk dua kanak-kanak itu telah dihantar ke rumah perlindungan di Kuala Lumpur," katanya.

Polis masih lagi menyiasat peranan yang dimainkan oleh warga Singapura itu katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melakukan rondaan jalan kaki bersama pegawai kanan polis Johor di sekitar Jalan Meldrum, di sini hari ini.

"Warga asing itu mahu di bawa ke sebuah negara lain," katanya sambil menambah polis Johor tidak akan membenarkan negeri ini dijadikan pusat transit oleh mana-mana pihak yang terlibat di dalam aktiviti jenayah perdagangan manusia.

Beliau berkata, siasatan awal polis menunjukkan kesemua warga Filipina dan Vietnam terbabit memiliki passport dan telah memasuki negara ini menggunakan pintu masuk negara yang sah.

Polis Johor katanya, akan menyiasat kes berkenaan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Sementara itu, Mohd Mokhtar turut mengumumkan kejayaan polis menumpaskan kumpulan samun berikutan tertangkapnya empat lelaki berusia lingkungan 26 hingga 37 tahun di Kampung Majidee, Johor Baharu Jumaat lepas.

Dengan tertangkapnya lelaki terbabit yang kini direman sehingga 12 Februari depan, katanya polis berkeyakinan ia telah menyelesaikan 28 kes samun di kawasan-kawasan taman di Johor Baharu.

Mohd Mokhtar berkata, polis turut merampas empat bilah parang, satu set telefon bimbit dan satu beg sandar daripada suspek yang disahkan positif penagih dadah. - BERNAMA

Artikel Lain