suria

Stesen Minyak Langgar Arahan Jualan Minyak Bersubsidi Melebihi Kuota Disita

ALOR SETAR: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya menyita sebuah stesen minyak di Changlun semalam kerana menjual minyak bersubsidi melebihi kuota kepada kenderaan asing.

Sepasukan tujuh pegawai dari ibupejabat KPDNKK di Putrajaya menyerbu stesen minyak di Jalan Changlun-Sintok 8.30 pagi semalam dan menyita 21,390 liter petrol dan 15,260 liter diesel, kesemuanya bernilai kira-kira RM64,000.

Jurucakap KPDNKK Putrajaya yang dihubungi Bernama hari ini berkata, pengusaha stesen tersebut disyaki menjual minyak bersubsidi melebihi 20 liter kepada kenderaan asing berikutan larangan kerajaan berhubung perkara itu bagi stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50kilometer dari pintu sempadan negara pada 16 Disember lepas.

"Kami mendapati jualan harian stesen tersebut sangat tinggi sejak larangan itu dikuatkuasakan dan mengesyaki sesuatu lalu membuat intipan untuk mendapatkan bukti sebelum membuat serbuan.

"Hasil serbuan itu kami mendapati satu pam dibina di bahagian belakang bangunan dan satu hos panjang yang dipercayai digunakan bagi mengisi minyak ke dalam kenderaan," katanya.

Beliau berkata hos tersebut disambungkan kepada pam tetapi penghujungnya diletakkan di dalam longkang dipercayai untuk mengaburi orang ramai.

Katanya siasatan awal mendapati pengusaha stesen itu menjual petrol dan diesel dalam kuantiti yang banyak kepada pemilik kenderaan asing dan merupakan stesen pertama di Kedah disita KPDNKK atas kesalahan itu.

Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Kesalahan membabitkan individu boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM250,000, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain